Subsidi, insentif bantu stabil harga durian


Kebanyakan hasil dieksport luar negara seperti China dan Singapura menyebabkan harga durian seperti Musang King melonjak sehingga RM140 sekilogram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2017.

PERMINTAAN yang tinggi berbanding bekalan yang berkurangan merupakan antara faktor harga durian sedikit meningkat tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman berkata kebanyakan hasil dieksport luar negara seperti China dan Singapura menyebabkan harga durian seperti Musang King melonjak sehingga RM140 sekilogram.

“Kita di kementerian tidak boleh menetapkan harga siling bagi durian. Ia memang mahal sikit di pasaran tempatan berbanding tahun sebelum ini dan ia berpunca daripada kekurangan bekalan.

“Apa yang kita boleh buat untuk kawal (stabilkan) harga bagi pasaran tempatan ialah dengan memberikan subsidi serta insentif kepada pekebun untuk menanam lebih banyak pokok durian dan apabila banyak bekalan, pasti harganya kembali stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional 2017 di Perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Pahang Tua, hari ini. 

Sementara itu, Tajuddin meminta golongan petani, nelayan dan penternak lebih proaktif dalam mengambil peluang menjana pendapatan melalui pelbagai bantuan disediakan kerajaan.

Katanya mereka tidak boleh hanya sekadar berpuas hati dengan pendapatan semasa, sebaliknya turut membuat perubahan dengan membabitkan diri dalam pelbagai industri hiliran yang berpotensi menambah pendapatan.

“Jangan kita hanya lihat punca pendapatan itu hanya membabitkan pekerjaan yang kita buat sahaja. Jika kita nelayan sebagai contoh, banyak benda lain boleh kita buat, contohnya buat keropok, ikan salai, ikan kering.

“Begitu juga jika kita ada kebun durian, bukan jual durian sahaja, pelbagaikan durian itu. Buat kek durian, aiskrim durian dan macam-macam lagi.

“Jika nak buat semua ini, kena ada ilmu (pengetahuan) dan kita di kementerian sediakan pelbagai kursus yang boleh petani, nelayan dan penternak ikuti. Kalau tidak ada modal, mereka boleh jumpa dengan pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usawan Niaga (Tekun) atau AgroBank untuk memohon pinjaman.

“Pendek kata, tidak ada masalah kerana kerajaan memang menyediakan pelbagai insentif, subsidi atau pembiayaan untuk yang ingin mencari jalan meningkatkan taraf hidup serta pendapatan mereka,” katanya. – Bernama, 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen